Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Saturday, October 17, 2009

<< soleh & solehah impianku... >>

Dalam kelam hidup ini,

aku mencari cahaya yang bisa

menyuluh jalanku,



Dalam tandus jiwaku,

aku mendambakan siraman kasih

yang melembutkan kekontangan

hatiku…



Dalam aku mencari cinta,

Yang bisa mengamankan aku,

Aku temui cinta Ilahi…



Di antara ciri-ciri lelaki soleh atau wanita solehah itu ialah:

Hatinya sentiasa terpaut (teringat-ingat) kepada Allah swt. Merasakan segala ketaatan dan amal ibadahnya itu, bukan daripadanya. Sebaliknya itulah kurniaan Allah kepadanya. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, dia tidak leka dengannya tetapi hatinya terus terkenang kepada Allah yang memberi nikmat.

Sehingga dengan itu dia tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 172 yang bermaksud:

“Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahNya.”

Apabila didatangi dengan berbagai ujian tidak kiralah samada ujian besar mahupun kecil; bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik; hatinya terus terkenang-kenang dosa-dosa yang telah dilakukan.

Apakah ujian demi ujian yang datang itu untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku agar lebih soleh atau solehah? “Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukumanMu untukku di atas dunia ini, aku rela menerimanya dari diazab oleh api neraka yang amat pedih. Ampunkan dosa hambaMu ini ya Allah.”

Bila hati telah berkata begitu, tidaklah timbul rasa ingin mengadu ke sana dan ke mari atau mengeluh di atas segala kesusahan.

Redha terhadap setiap ujian yang datang. Dia tidak berani menyanggah atau mengkritik Allah swt. Sentiasa yakin dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah di dalam menentukan setiap hal yang berlaku. Atas dasar itu dia menerima berbagai rintangan dan halangan itu dengan lapang dada.

Malah hati yang sudah cinta dengan Allah itu menjadikan setiap ujian yang datang, tidak dirasakan masalah lagi. Hatinya terhibur dengan mehnah yang datang kerana dia tahu itulah kasih sayang dan perhatian Allah swt kepadanya.

Semakin berat ujian yang menimpa diri, sekencang itulah juga ibadahnya kepada Allah swt. Sembahyang bertambah khusyuk dan semakin lazat dirasakan bermunajat kepada Allah swt. Dalam sepi malam dia bangun bermunajat kepada Allah swt, memohon dibukakan tabir keampunan dan kerahmatan. Pada siang harinya disibukkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat pada diri dan masyarakat sementara segala masalah yang dihadapi cuba dilupa-lupakan.

Tidak sedikit pun melayan kejahatan-kejahatan nafsu dan prasangka buruk terhadap sesama manusia. Kerana dia tahu nafsu dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran. Allah swt telah mengingatkan di dalam firmanNya:

“… karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

Ketika datang bisikan-bisikan nafsu yang meruntun diri supaya berbuat jahat seperti hasad dengki kepada jiran tetangga atau orang lain, berburuk sangka terhadap kawan, bermasam muka kepada suami, mengumpat dan sebagainya; cepat-cepat ditepiskan bisikan menipu itu.

Dia sedar, sekali diri berbuat dosa, akan bertapaklah bintik-bintik hitam di hati, menyebabkan hati akan semakin keras bak batu sungai yang sukar dipecahkan. Rasulullah saw bersabda:

“Bila seorang hamba membuat dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya dan kalau bertambah dosanya bertambahlah bintik-bintik hitam itu.”

Sabda baginda yang lain:

“Orang yang membuat dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya.”

Tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi suami, isteri, ibu, ayahnya sekalipun dirinya sendiri. Contohnya, sekembalinya suami ke rumah, tiba-tiba dirinya dijadikan sasaran untuk melepaskan geram. Miskipun dia tahu itu bukan salahnya, tetapi sebagai seorang isteri yang solehah sedikit pun tidak dikesali perbuatan suaminya itu. Sebaliknya menyesali diri yang masih lagi belum solehah kerana dirasakan dirinya gagal untuk memberi kebahagiaan kepada suaminya itu.

Patuh terhadap arahan suami dan suka menunaikan permintaan daripada sesiapa jua, tanpa banyak soal.

Bukanlah kehidupannya untuk mencari pangkat dan nama kerana dia tahu di atas dua tiket inilah yang membawa manusia rakus dengan dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Sebaliknya, dia menjadikan seluruh kehidupan ini untuk mencari kerdhaan Allah swt semata-mata.

Kesimpulannya, masih terlalu banyak peribadi-peribadi lelaki soleh dan wanita solehah yang belum dicungkil tetapi kiranya kesemua sifat yang di atas tadi dapat kita rintis dengan baik, insyaalLah kita akan memiliki hati yang tenang. Hanya orang yang membawa hati yang tenang dan sejahtera sahaja yang akan selamat menemui Allah di akhirat kelak. Maka berdoalah kita selalu semoga diberi cahaya keimanan, cahaya bagi segala cahaya yang tiada tolok bandingnya yang bakal memberikan laluan lurus untuk selamat menuju Tuhan yang Maha Agung. Aminn…

Saturday, July 18, 2009

<< QANAAH >>


Bismillahirrahmanirrahim..
QANAAH
ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.
Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”
Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 97)Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulama sudah mengemukakan beberapa cara untuk memiliki sifat mulia ini antara lain ialah pertama, berjimat dalam perbelanjaan dan merancang perbelanjaan. Kedua, percaya bahawa dengan qanaah mendatang kemuliaan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tegasnya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya.
Dalam sejarah umat Islam, tercatat beberapa kisah mereka yang murah hati antaranya, diceritakan bahawa Abdullah bin `Amir membeli sebuah rumah kedai daripada Khalid bin `Uqbah dengan harga 90,000 dirham.
Tiba-tiba pada malam itu, dia mendengar anak isteri Khalid menangis. Lalu dia bertanya kepada isterinya: “Apa hal mereka itu?” Kemudian dia diberitahu bahawa mereka menangis kerana rumah mereka yang dijual.
Lantas Abdullah berkata kepada pembantunya: “Pergi dan suruh mereka datang ke sini.” Selepas mereka datang lalu dia terus menyatakan bahawa ambillah rumah itu kembali dan duit itu juga untuk kamu.
Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini.. ^_^

Thursday, June 25, 2009

<< cinta Allah fitrah insan >>


Hati yang hidup ialah hati yang mencintai Allah. Sesiapa yang mencintai Allah, dia mencintai Islam kerana kehidupan Islam ialah kehidupan yang ditunjuki oleh Allah. Barangsiapa mencintai kehidupan Islam maka dia mencintai kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat radiaLlahu anhum. Kehidupan mereka merupakan tafsiran ajaran Islam secara praktikal. Mereka merupakan lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan sejati yang pernah dilahirkan di dunia ini. Mereka juga adalah generasi yang membangunkan dunia dengan kecintaan kepada Allah SWT dan membawa kebahagaian kepada kehidupan manusia dan alam.Apabila kita menyebut tentang cinta Allah, ianya mestilah bertempat di hati sebab hati dicipta untuk merasai dzauqi atau kelazatan menghayatinya. Hati juga tempat makrifat, tempat iman, tempat rindu.


Hati ini dikategorikan oleh Ulama Sufi kepada 4 peringkat, iaitu :
1. Hati yang lalai kepada Allah.
2. Hati yang ingat kepada Allah.
3. Hati yang asyik dengan Allah.
4. Hati yang makrifat kepada Allah.


Pada hari ini, kebanyakan ulama, para pendakwah atau orang awam memiliki hati yang berada pada tahap pertama, iaitu hati yang lalai dengan Allah SWT. Ini dapat dilihat dalam kehidupan mereka yang tidak menunjukkan mereka cinta kepada Allah, bersungguh dalam ibadah dan mujahadah serta sentiasa memelihara diri daripada perkara-perkara yang haram, syubhah dan makruh. Mereka juga tidak berhati-hati dalam perkataan, penglihatan serta pendengaran yang akibatnya hati mereka bertambah keras dan rosak.Berapa ramai ulama yang bercakap tentang takut kepada Allah tetapi sanggup menyembunyikan kebenaran kerana takutkan manusia. Mereka juga dunukilkan oleh Allah sebagai orang yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan duniawi. Ada juga di kalangan para daei yang bercakap tentang ayat-ayat Allah tetapi kadang mereka “menjual” ayat-ayat Allah demi mendapatkan keuntungan, kemasyhuran, pengikut yang ramai serta pujian dari manusia lain. Mereka sebenarnya orang-orang yang mati hatinya daripada perasaan cintakan Allah. Manakala orang awam, kehidupan mereka dibelenggu oleh kesibukan mencari harta, pangkat dan mencintai kaum keluarga diatas hawa nafsu sehingga melalaikan mereka daripada Allah SWT.
Manusia wajib mencintai Allah. Ia adalah perkara fitrah kerana asal roh manusia datang dari Allah. Ketika di alam arwah, manusia telah mengaku bahawa Allah adalah tuhan mereka dan tiada yang lain dalam cintanya, zikirnya, ingatannya, pujaannya, semuanya adalah untuk Allah SWT semata-mata. Mereka sudah berilmu dan mengenal Allah dengan pengenalan yang hakiki. Apabila manusia itu lari dari fitrah dan tidak menghalakan roh dan hati mereka untuk mencintai Allah, mereka sebenarnya meronta-ronta untuk kembali kepada Allah, untuk mengenal Allah, mencintai Allah atau Rabbnya kerana itulah fitrahnya.Namun kehidupan dunia yang hanya membawa halangan dan rintangan kepada diri seseorang untuk terbang ke hadrat Ilahi telah menyebabkannya menderita kerana mencintai dunia yang bukan fitrahnya.


Ketahuilah, sesiapa yang cuba menentang fitrah dengan tidak mencintai Allah, sebaliknya mencintai dunia atau yang lain, ia akan menderita.Ramai manusia yang mempunyai atau memiliki kekayaan tetapi sedikit yang memiliki kebahagiaan. Kebahagiaan itu hanyalah apabila roh atau hati kembali kepada Allah. Ibarat seekor ikan yang dilepaskan kembali ke lautan atau nseekor burung yang tinggal di dalam sangkar emas kemudian dibukakan sangkar hingga ia kembali mendapat kebebasan. Walaupun tinggal di dalam sangkar emas, hakikatnya burung itu tidak mendapat kebebasan. Begitu juga dengan roh. Jangan biarkan roh kamu terkurung di dalam sangkar emas (dunia dan hawa nafsu), walaupun ia kelihatan cantik tetapi ia bukan kebahagiaan hakiki.Ramai manusia menyangka apabila mereka kembali kepada Allah, mereka akan terpenjara dan hidup terkongkong kerana dikawal oleh peraturan-peraturan Allah. Sedangkan ianya merupakan satu kunci untuk roh bebas terbang kepada Allah SWT. Apabila mereka menjauhkan diri atau melanggar peraturan-peraturan Allah dan menurut akal mereka, sebenarnya mereka menguncikan diri mereka di dalam sangkar.


Inilah hakikat kehidupan manusia. Sehinggalah mereka dapat melihat ketika menghadapi sakaratul maut, baru mereka akan sedar. Ketika itu, ia sudah tidak berguna lagi.Apabila seseorang itu mencintai harta, maka dia akan menjadi hamba kepada harta. Kalau dia mencintai pangkat, dia akan menjadi hamba kepada pangkat itu. Begitu juga, mencintai kaum keluarga, sanak saudara atau lain-lainnya, maka jadilah dirinya hamba kepada apa yang dicintainya. Sebaliknya, sesiapa yang mencintai Allah, dia akan bermujahadah dengan hawa nafsunya dan membebaskan diri dari belenggu yang mengikat rohaninya untuk mencintai Allah. Hanya kekasih Allah-lah memiliki hati yang mencintai-Nya, sentiasa mengingati-Nya, mencintai akhirat dan menangis kerana takut kepada-Nya. Pecah tumit kakinya kerana berdiri di malam hari menghadap Allah dengan rasa kehambaan. Perasaan kecintaan dan kehambaan yang tinggi kepada Allah menyebabkannya mengambil kehidupan dunia dengan amat sederhana.


Islam telah berjaya menguasai dunia dan menjadi model kepada kehidupan manusia. Islam telah menjadi kuasa yang amat ditakuti dan disegani kerana bukan sahaja menjadi contoh dalam aspek kerohanian tetapi juga dari segi akhlak peribadi dan pendidikan anak-anak. Rumahtangga orang Mukmin tertumpu kepada tujuan mencari cinta Allah. Suami menjadi pemimpin isteri, manakala isteri menjadi penasihat kepada suami dan mendidik anak-anak. Malah Islam telah berjaya melahirkan generasi contoh dalam pengurusan kehidupan manusia seperti dalam urusan ekonomi, politik, pentadbiran negara, intelektual, sosial dan sebagainya. Generasi ini menterjemahkan Islam yang syumul secara praktikal dan membincarakan permasalahan kehidupan manusia seperti kesucian diri dari hadas kecil hingga kepada kesucian pentadbiran negara dan dunia.


Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk melahirkan kembali generasi contoh yang hebat ini melainkan mengikuti kembali jalan-jalan mereka, peribadi, akhlak, ibadah, mujahadah dan pengorbanan jihad mereka. Mereka telah dididik oleh Rasulullah SAW dengan keimanan makrifatullah, keimanan yang hakiki. Diwajibkan ke atas mereka melakukan Qiamullail untuk melahirkan kecintaan kepada Allah, hati yang hidup dengan Allah. Mereka ditarbiyah dengan sentiasa membaca Al-Quran dan menghadiri majlis-majlis tazkirah untuk melahirkan dan menguatkan perasaan cinta kepada Allah. Kecintaan mereka ialah kecintaan kepada hati yang dzauq dan tubuh badan yang sihat. Segalanya berpunca dari hati sebab itu hati mestilah diutamakan dalam pendidikan manusia.

waallahualam..

Thursday, June 18, 2009

<< sebutir kurma >>


Bismillahhirrahmanirrahim..

baru nk sarapan pagi ni..mak berikan kurma.. kata mak '' nah,ambil kurma nie.. makan buah ni dulu.." ok baek mak..hehe..mak beli mana kurma ni? kata saya. '' bukan beli..ni pakcik bagi..dia baru balik umrah..kurma bukan sebarang kurma tau..tapi kurma `ajwah`, pokok kurma nie rasullullah tanam taw.'' kata mak..

Subhanallah.. kurma mmg byk khasiatnya..dlm al-Quran pon Allah dh jelaskan..
Khasiat kurma "Ajwah sebagaimana yang disebut dalam hadis adalah satu kelebihan dikurniakan Allah sesuai dengan kemuliaannya sebagai jenis kurma pertama ditanam sendiri Rasulullah S.AW.
untuk pengetahuan sahabat2, Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah.
Kurma adalah sejenis buah dari tumbuhan palma yang kaya dengan zat, besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin. Kurma dari segi saintifiknya dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.Ia juga membantu dalam kecerdasan minda..

Kurma juga penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain yang diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud : Daripada Sulaima bin Amir Adh-Dhabiyyi, sesungguhnya Nabi bersabda,"Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu adalah pembersih".

Firman Allah yang bermaksud:" Dan gegarlah kearahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan".(Surah Mayam, ayat 25).

Antara beberapa hadis ttg khasiat kurma contahnya ini..

Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : “Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.insyaAllah..

justeru.. amalkan memakan kurma sebagai amalan harian kita ..ia juga sunnah Rasullulah saw..^_^


Sunday, April 19, 2009

<<< Kasih sayang nya >>>


Berhenti!! Cuba lihat pada diri kita. Senang, mewah dan sihat. Kemudian pandanglah ke belakang. Berapa banyak pengorbanan yang telah dilakukan demi menghasilkan kita sekarang. Ibu yang menyusukan kita. Ayah yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menumbuhkan daging-daging kita. Di saat kita menangis di malam hari, siapakah yang bersengkang mata?? Betapa beruntungnya kita..

Cuba lihat pula di dalam jiwa kita. Ada apa?? Ada Iman bukan?? Ada Islam. Ada ketenangan dan kebahagiaan hasil daripada keduanya. Dari mana pula datangnya semua ini?? Takkan datang dengan sendirinya. Pastinya ia perlu melalui satu jalan untuk sampai kepada kita. Jalan itu ialah jalan pengorbanan. Jalan darah dan air mata.

Insan yang bernama Muhammad itulah yang telah berkorban untuk menyampaikan kemanisan iman dan islam pada kita. Dan insan itu jugalah yang sering kali air matanya mengalir mendoakan kita. “ Ya Allah, ampunkanlah ummat aku ini, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”. Dan insan mulia itu, disaat ajal datang menjemputnya masih tidak jemu mengingati kita. “ Ummati… Ummati… Ummati…”, lalu pergilah dia meninggalkan kita..

“Ya Allah, manusia apakah ini?? Ya Allah, kenapa dia melakukan semua ini untuk aku??”

“Kerana dia sangat-sangat mencintaimu. Seluruh kehidupannya dikorbankan demi kebahagiaan dunia akhiratmu”

“Tapi aku tidak minta semua itu!!”

“Takkan semua perberian perlu kepada pemintaan. Memberi atas nama cinta merupakan suatu kerelaan”

Kalau tidak kerana pengorbannya, pasti kita hanya menangkap gelap dalam kehidupan. Kalau tidak kerana dia yang mulia, pastinya kita akan merengkok di dalam neraka buat selama-lamanya. Selama- lamanya..

Itu semua kisah cinta dia. Semuanya telah berlalu. Tanggungjawabnya telah selesai. Dia telah selamat menemui Tuhannya. Kita?? Apa pula kisah kita?? Cinta kalau dibalas cuka, itu keji namanya. Kasih andai dibalas dengan luka, jangan marah kalau dikatakan celaka. Lihat sekali lagi kepada diri kita. Tidak lukakah hati dia melihat kita sebegini rupa?? Ke mana telah kita campak pengorbanan dia?? Di dalam tong manakah telah kita buang Iman dan Islam kita?? Kita memang suka membuat air matanya mengalir..

“Aku tidak buang Iman. Aku tidak pernah campak Islam”

“Kau tipu!! Lihat saja pada perilakumu. Islam itu tempatnya bukan dimulut tapi ia seharusnya menjelma dalam kehidupanmu”

Andai benar kau mencintai dia, maka buktikanlah kecintaanmu !!



Thursday, March 5, 2009

<< BERSAMA MENGINGATI BULAN RABIULAWAL >>

Bismillahirrahmanirrahim..

wahai teman sehati,seiman,seperjalanan, penulis ingin mari sama2 mengingati peristiwa bulan rabiulawal..bulan kelahiran Rasullullah saw..yakni maulidur rasul..

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.. Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

  1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
  2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
  3. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
  4. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
  5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
  6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
  7. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
  8. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
  9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.


`Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya.”


Orang-orang yang keras hati tidak akan mengenal kasih sayang, kurang peka perasaan, lagi tipis perikemanusiaannya. Berbeza halnya dengan orang yang dikurniakan Allah SWT dengan hati yang lembut, penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan. Rasulullah SAW contohnya dikenali sebagai seorang yang penuh kasih sayang dan lembut hatinya. Sudahkah kita berusaha mengamal dan mencontohi sikap baginda yang sangat terpuji itu hingga cinta kita pada Rasulullah bukan sekadar cinta buta, tapi cinta yang melahirkan ketaatan pada Allah SWT dan sikap mulia dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika direnung, tidak wajar kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sering melanggar nasihat-nasihat baginda? Kecintaan kita pada baginda selama ini cuma cinta bersahaja, bukan juga cinta biasa sebagaimana cinta kita kepada anak-anak atau manusia yang lain. Sedangkan kecintaan Rasulullah pada kita umatnya amat mendalam dan luar biasa, disebut-sebut oleh baginda hingga nafas yang terakhir!

sayangilah Rasulullah saw...

wassalam...
..salam maulidur rasul..
`d5cintailahi`



Saturday, January 24, 2009

Menunduk musuh Islam


HATI yang jahil pernah bertanya mengapa Allah menguji umat Islam dengan peperangan, pengkhianatan, kelaparan, penyeksaan dan penyembelihan oleh tangan-tangan kuffar? Mengapa ujian itu kini tidak bernoktah?

Kita sering bertanya, namun kita sudah tahu jawapan dan syarat bagi melepasi ujian berat ini. Muslimin terdahulu sudah memenuhi syaratnya dan mereka berjaya, namun kita yang jauh lebih moden kini alpa dan tertanya-tanya.

Padahal Allah sudah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Bilakah datangnya pertolongan Allah? Dulu, disebabkan hebatnya seksaan yang dialami sahabat di sisi Baginda SAW, mereka mendesak Rasulullah SAW dengan satu pertanyaan: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak memintakan pertolongan untuk kami? Apakah engkau tidak mendoakan kami? Baginda SAW yang saat itu sedang berbaring, bangkit dengan wajah merah padam akibat marah bersabda yang bermaksud: Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang sebelum kalian ada yang ditanam hidup-hidup, digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula yang disisir dengan sisir besi sehingga mengenai dagingnya hingga memisahkan ia daripada tulangnya, semua itu tidak menggoyahkan agama mereka.

“Demi Allah, Allah pasti memenangkan agama ini hingga merata dari Sana’a sampai Hadhramaut dan manusia saat itu nanti semuanya tidak takut melainkan hanya kepada Allah melebihi takutnya kambing terhadap serigala. Tetapi kalian sangat tergesa-gesa (meminta kemenangan).” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Kesedihan pejuang Islam di merata dunia berikutan pertumpahan darah dan pencerobohan ke atas Palestin semestinya tidak menyurutkan semangat pejuang untuk tetap istiqamah menjaga agama Allah dari tipu daya jahat musuhnya. Apatah lagi untuk berputus harap kepada Allah kerana dijangkiti penyakit cinta dunia dan takut mati.

Gesaan untuk memboikot barangan Amerika pastinya melahirkan polemik hangat yang mencetuskan pendapat antara yang menyokong dan menolak gagasan itu. Melalui tragedi ini akan jelas terlihat siapakah yang berpeluk tubuh dan memekakkan telinga atau sekadar bermulut manis membantah tanpa aksi sebenar dan hakiki di kalangan negara saudara seagama yang disembah adalah sama iaitu Allah.

Hal itu hakikatnya adalah suatu bentuk ujian iman supaya Allah membersihkan di kalangan barisan umat ini orang yang terpilih sebagai pejuang di jalan Allah dan mereka yang terkeluar dari barisan, duduk ketakutan, cemas kehilangan takhta, harta dan jiwanya. Padahal, akhirat itu jauh lebih baik dan kekal, ternyata betapa dunia amat membius jiwa manusia.

Namun begitu di kalangan manusia jahil, lalai dan memilih menjual akhiratnya dengan harga dunia yang murah, pasti wujud golongan diselamatkan Allah daripada fitnah dunia. Mereka sentiasa dibangkitkan untuk satu peranan penting demi menjaga agama Allah.

Tidak semestinya mereka berada di medan perang terbuka, menghadapi senapang, bom dan roket bahkan mereka boleh mengikut jejak mujahidin melalui kepakaran ilmu dan teknologi demi masa depan Islam.

Mereka sedar amaran al-Quran supaya umat Islam berwaspada hingga ke akhir zaman disebabkan peperangan sentiasa wujud baik secara terbuka mahupun senyap, bukan kerana umat Islam yang memetik apinya bahkan musuh merekalah yang membakar dendam yang tidak mungkin dihapuskan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” (Surah Al-Baqarah, ayat 217)

Dengan kekuatan persenjataan orang kafir jauh lebih canggih daripada umat Islam, strategi dan perancangan umat Islam mesti disusun secara matang serta tidak tergopoh-gapah. Sesuai dengan hadis Baginda SAW yang mengingatkan umatnya tidak tergesa-gesa dan kurang sabar dalam perjuangan. Langkah jangka panjang itu membabitkan ilmuwan dan cendekiawan Islam bersama umara dan seluruh umat.

Peranan umara sebagai pemimpin Islam seharusnya meletakkan wawasan jauh dan perancangan jitu supaya umat mampu berdiri setanding bangsa Yahudi dan Nasrani yang sudah pun jauh lebih maju.

Sudahkah disediakan pakar nuklear setanding ilmuwan Amerika dan Yahudi? Teknologi canggih dan penemuan baru apakah sudah diterokai generasi Muslim? Apakah kestabilan negara, politik dan ekonomi menjadi agenda utama pemimpin berlainan fahaman politik?

Sejauh mana usaha melahirkan hartawan Muslim pada peringkat antarabangsa dan melatih pendidik, ilmuwan dan cendekiawan supaya menerima transformasi ilmu dari seluruh jendela dunia sebagai bekalan mempersiapkan anak bangsa yang berdaya saing di segala bidang keilmuan setaraf bangsa maju.

Amat menyedihkan, fakta sejarah menyenaraikan 180 orang Yahudi memenangi hadiah Nobel selama 105 tahun dan hanya tiga orang Muslim memenanginya. Dengan perbandingan 14 juta Yahudi dan 1.5 bilion Muslim di seluruh dunia.

Kemudian bagaimana pula peranan ulama untuk menghadapi gelombang kebangkitan Yahudi dan Nasrani? Ulama seharusnya lebih bersikap terbuka dan bersedia melakukan dialog antara penganut agama dan kepercayaan di seluruh dunia untuk memberi maklumat yang benar mengenai Islam.

Usaha untuk menyampaikan Islam yang asli dengan strategi dakwah moden menjadi keutamaan. Slogan kembali kepada Islam seharusnya menjadi jenama yang boleh dijual di pasaran dunia. Bukan untuk umat Islam saja tetapi kepada bangsa lain yang belum mengetahui keindahan Islam.

Jangan asyik-asyik suka mengharamkan, mengeluarkan fatwa yang menyebabkan ketegangan di antara kaum dan umat beragama. Seolah-olah memusuhi dan mahu menguasai dengan kuasa majoriti.

Bukankah Rasulullah SAW mengirim duta ulamanya ke luar negara untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan dakwah kepada mereka? Semangat kemanusiaan seharusnya lebih ditonjolkan daripada semangat perkauman dan fanatik kepercayaan agama membabi buta. Islam tidak sesekali membenarkan umatnya memaksakan akidah kepada umat lain.

Seharusnya, menjadi tugas ilmuwan Islam mendekati orientalis yang mengkaji Islam secara bermuzakarah, berdialog dan membincangkan fakta Islam dengan semangat perdamaian bukan kebencian.

Pada kurun ke 20 sikap orientalis berbeza-beza, jika dulu mereka bekerja untuk kepentingan imperialisme dan menggunakan hasil kajian itu sebagai senjata bagi menjajah dan memusnahkan umat Islam. Kini, ramai di kalangan mereka bersikap terbuka, jujur dan bebas mengkaji seiring dengan berkurangnya kuasa imperialisme. Jika ulama tidak menyediakan kitab bermutu serta karangan ilmiah bagi menjawab hujah negatif mengenai Islam, mustahil orientalis ini menemui kebenaran dan hidayah dalam Islam.

Antara mereka yang terkenal seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya), Martin Lings, Titus Burchhardt dan Leopold Weiss (Mohammad Asad), Murad Hoffman dan ramai lagi hampir mengucap syahadah.

Kekuatan ilmu ulama mesti dimanfaatkan untuk penyiaran dakwah dengan cara pembabitan langsung ke medan dakwah. Mencetak pejuang dakwah yang berwibawa, menyampaikan al-Quran dan hadis secara indah dan tidak menakutkan apatah lagi memberatkan.

Kadang-kadang sebutan haram itu lebih kedengaran, membuat umat fobia dan meninggalkan terus agamanya padahal haram itu sedikit berbanding yang halal dalam agama kita. Akhirnya, kejahilan berleluasa dalam diri generasi yang menolak agama, mereka menganggap Islam sebagai agama warisan untuk mengurus hal-hal kematian, kelahiran dan sambutan hari kebesarannya saja tetapi tidak berupaya menjawab permasalahan keduniaan.

Kerana kelalaian ulama dan pendakwah, lahir satu fenomena berbahaya di tengah-tengah umat, kewujudan dua generasi Islam. Pertama, yang melepaskan habis ikatan agama dan kedua, golongan tradisional jumud yang memberatkan permasalahan agama sehingga melupakan perjuangan sebenar.

Jika orang kafir sudah sampai ke bulan dan mengkaji teknologi perang luar angkasa, umat Islam yang jumud ini masih bercakaran dan berselisih mengenai mazhab siapa yang paling baik dalam berwuduk.

Fanatisme mazhab menjadi punca terpecahnya perpaduan umat, ia bertanggungjawab atas kemunduran umat Islam yang tidak mampu bersaing melalui teknologi, ekonomi dan kekuatan senjata orang kafir.

Padahal Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh umatnya memegang pada satu mazhab saja, bukankah mazhab itu lahir selepas Baginda wafat dan tak ada satu pun lebih tinggi nilainya daripada kesahihan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW? Bahkan Imam al-Syafie melarang pengikutnya bertaklid buta dan menyuruh mereka mengutamakan kitab Allah dan sunah Rasul daripada pendapatnya.

Peranan ulama dan pendakwah seterusnya ialah berganding bahu bersama umara menyelesaikan isu umat. Sikap ulama terhadap umara hendaklah sesuai dengan suruhan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat sekalipun yang memimpin kamu hanya seorang hamba.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Antara kelemahan umat Islam ialah tercabutnya kasih sayang antara ulama dan umara. Bagaimanakah masa depan umat jika umara melepaskan ikatan agama dalam memimpin negara? Dan ulama pula menjauhkan diri daripada pemimpin dan membiarkan kesilapan berlaku sehingga menghancurkan agama, bangsa dan negara?

Bukankah kebinasaan akan berlaku jika tidak ditegakkan amar makruf nahi mungkar? Peranan ulama di sisi umara adalah sahabat dan saudara adalah memberi pandangan serta fatwa dengan semangat ijtihad demi kemajuan umat.

Ulama dan umara seharusnya duduk bersama merancang strategi menyediakan generasi pelapis yang bakal memperjuangkan misi agama. Ketiadaannya akan mematikan nadi umat. Pencerobohan ke atas umat terjadi di mana-mana kerana kemunduran, kemiskinan, kebodohan dan kejumudan cara berfikir. Tetapi, perlu diingat faktor paling utama penyebab kehancuran Islam ialah kejahilan umat terhadap agamanya.

Agama menjadi benteng terkuat untuk memenangi perjuangan kerana ia adalah asas penting penggerak paling hebat untuk melawan kezaliman. Tanpa agama tidak ada orang sanggup mati membela Islam.

Sesekali mereka tidak pernah takut mati bahkan mengharapkan syahid di jalan Allah. Mereka memandang dunia dengan harga yang murah dan memilih syurga yang kekal abadi di sisi Tuhannya.

Kembali kepada Islam menjadi slogan yang sering dilaungkan, sejauh mana ia berjaya bergantung dengan peranan ulama dan umara serta sikap umat yang diharapkan mahu berubah. Mampukah kebangkitan Islam direalisasikan generasi berkiblat ke Barat, berjiwa kapitalis dan bernafsukan liberalis?

Rasulullah SAW pernah meramalkan perkara ini dan tiada satu pun perkataan Baginda melainkan benar belaka:

“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani? Nabi SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Tanda Pencipta mencintai manusia


PASRAH: Wirid dan doa mendekatkan hubungan antara insan dengan Maha Pencipta.

Insan dibekal hati, perasaan, akal dan fikiran membezakan

APABILA rakyat mencintai rajanya, hal itu perkara lazim dilakukan. Bagaimanapun, suatu hal sungguh menyentuh hati ialah apabila seorang raja mengasihi rakyat tanpa pilih kasih. Sanggup berdebu dan menjejak tanah, memberi apa diminta dan mendengar setiap rintihan dengan hati paling lembut kepada rakyat.

Begitulah cinta Allah kepada hamba-Nya. Maha Agung dan Perkasa itu mengisytiharkan kedudukannya yang amat dekat kepada hamba-Nya. Firman Allah bermaksud:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:

  • Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah.

Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.

Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.

Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang dicintai-Nya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.

  • Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah.

Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.

Firman Allah bermaksud:

“Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah al-Zumar, ayat 53-54)

Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.

Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.

Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

  • Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.

Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.

Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.

Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda SAW bersabda bermaksud:

“Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sunday, January 11, 2009

inilah nasib mereka...

...mangsa palestin...
huru-hara dengan peperangan..musnah harta benda benda mereka....



kanak-kanak yg tidak berdosa menjadi mangsa....




hari2 pengeboman berlaku sana sini...

ayuh kita bersama2 membantu mereka....jihadkan agama Allah..tegakkan ISLAM dgn memboikot Yahudi....
Berdoalah pd NYA moga2 islam menang....Allahuakbkar..!
Sama2 lah..solat hajat minta Allah berikan kemenangan pd Palestin...

Wednesday, December 31, 2008

Salam Maal Hijrah 1430




Segala puji bagi Allah Tuhan Seru Sekelian Alam, Selawat dan Salam Untuk Nabi Muhammad saw, Ahli Keluarganya dan Sahabat sahabatnya.

Ya Allah! Jadikanlah lipatan hari ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba² Mu yang terpilih.

YA Rahman Ya Rahim, aku bermohon kepadamu Kau ampunilah segala dosa²ku hari ini, semalam yang telah lalu dan akan datang sama ada yang sengaja atau tidak . Kau ampunilah dosa²ku, kedua ibubapaku ,guru²ku , sahabat²ku, jiran tetanggaku juga muslimin keseluruhannya. Kau ampunilah kami semua. Kau lepaskanlah kami semua dari azab api neraka dan berilah kami keselamatan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,kekalkanlah tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya. Tetapkanlah iman kami, kesihatan tubuh badan kami juga kesenangan harta benda kami sesungguhnya Engkau Maha berkuasa keatas sesuatu dilangit dan dibumi.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 untuk semua muslimin dan muslimat. Ana baru pertama kali mengenal blog ini..semoga blog ini dapat berkongsi idea dgn antum semua..n semoga niat baek kita dlm menperjuangkan agama Islam ini mendapat keberkatan n keredhaaanNYA..inyaALLAH..:)
Semoga mendapat rahmat dan petunjuk dan Allah memberkati setiap perjalanan hidup kita. Maafkan segala kekhilafan yang ada, yang zahir atau yang batin, yang sengaja atau yang tidak, baik yang tersurat apatah lagi yang tersirat…
wassalam..